Polis Tahan Enam Suspek Berkaitan Kes Culik Wanita Berusia 60 Tahun

Diterbitkan: Selasa, 17 Februari 2015 8:19 PM

DIKEHENDAKI… Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Datuk Mohd Adnan Abdullah (tengah) bersama pegawai penyiasat PDRM, menunjukkan gambar suspek berketurunan India, Vivegkananthaa a/l Sanga, 23, yang dikehendaki pihak polis berhubung kes culik seorang wanita berketurunan Sikh di Bandar Sunway, ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di Shah Alam, Selasa. Alamat terakhir suspek ialah, No 33 Changkat Minden, Jalan 6, Sungai Gelugor, Pulau Pinang. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Dalam tempoh tiga hari, polis menahan enam individu bagi membantu siasatan kes penculikan dan kematian seorang ahli perniagaan wanita yang dilarikan sekumpulan penjenayah di Bandar Sunway, Subang Jaya, dekat sini, Jumaat lalu. 

Mayat ahli perniagaan wanita berbangsa Sikh berusia 59 tahun itu ditemui pada keesokannya di kawasan laut di Sungai Udang, Pulau Pinang dan penculik menuntut wang tebusan RM2 juta daripada keluarga mangsa bagi pembebasannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata dalam tangkapan pertama pada Sabtu lalu, pasukan khas polis menahan seorang lelaki di Subang Jaya pada 3.20 pagi.

Hasil soal siasat polis, membawa kepada penahanan dua lelaki dan dua wanita di hentian Gua Tempurung, Lebuhraya Utara Selatan dan di sebuah rumah di Bukit Gambir, Pulau Pinang pada Ahad.

"Pihak kami kemudian menangkap seorang lagi suspek lelaki di sebuah rumah di Minden Heights, Gelugor, Pulau Pinang selain merampas beberapa telefon bimbit dan sebuah kenderaan jenis Vellfire yang disewa dipercayai digunakan untuk melarikan mangsa ke arah utara," katanya dalam sidang media di sini Selasa.

Kesemua suspek berumur antara 19 dan 28 tahun dan kini direman sehingga 22 Februari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961.

"Siasatan lanjut mendapati ada antara suspek pernah bekerja dengan mangsa dan suaminya yang menjalankan perniagaan batu marmar, bagaimanapun motif sebenar kejadian masih disiasat," kata Mohd Adnan.

Katanya polis juga sedang menjejaki seorang lagi suspek bernama S.Vivegkananthaa, 23, yang mempunyai alamat terakhir di No. 33, Changkat Minden, Jalan Sungai Gelugor, Pulau Pinang, bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang lelaki itu diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Subang Jaya, DSP Mohd Radzi Ahmad di talian 019-4418818 atau pegawai penyiasat ASP Norazmi Yaacob di talian 019-8128911.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan