Senjata Api, Peluru Dirampas Dari Kapal Layar Asing Di Langkawi

Diterbitkan: Isnin, 16 Februari 2015 2:38 PM

Zamri Yahya

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Polis Kedah merampas lima pucuk senjata api dan ratusan butir peluru dari sebuah kapal layar milik warga Afrika Selatan yang ditinggalkan di jeti Pulau Langkawi Khamis lepas.

Ketua Polis Negeri, Datuk Zamri Yahya berkata, turut dirampas dari kapal layar itu termasuk tiga teleskop penembak tepat dan penyenyap bunyi serta tiga kelopak peluru pelbagai saiz untuk kegunaan senjata api terbabit.

"Kapal terbabit telah ditinggalkan di jeti Rebak Marina sejak Ogos tahun lepas oleh pemiliknya. Daripada pemeriksaan dengan Jabatan Imigresen, kami juga mendapati warga Afrika Selatan itu telah meninggalkan Malaysia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kedah di sini, Isnin.

Katanya, semua senjata api berkuasa tinggi itu, ratusan peluru serta pelbagai kelengkapannya disembunyikan di bilik tidur kapal layar terbabit di bahagian belakang kapal berkenaan.

Ditanya sama ada rampasan senjata itu mempunyai kaitan dengan kegiatan militan, Zamri berkata, polis masih menyiasat tentang motifnya.

Dalam dua kejadian berasingan pada September tahun lepas, Polis Kedah merampas 23 pucuk senjata api dan ribuan peluru dari kapal dagang asing yang berlabuh di Langkawi.

Menurut Zamri, pihaknya akan menjalankan siasatan sama ada kes rampasan senjata api terbaharu di Langkawi ini mempunyai kaitan dengan kedua-dua kes sebelum ini yang juga melibatkan warga Afrika Selatan.

"Kami memandang serius perkara ini kerana kami jumpa raifal di Langkawi dalam keadaan tidak diisytiharkan oleh pihak berkaitan," katanya dan menambah, penemuan teleskop penembak tepat bersama-sama senjata api itu juga menggusarkan pihaknya.

Pemilik senjata api warga asing yang menggunakannya untuk tujuan melindungi kapal-kapal mereka sepatutnya memohon permit daripada polis sebelum pihak berkuasa menimbangkan kebenaran untuk membawa serta menggunakan senjata itu, katanya.

Tetapi di dalam kes ini, ia adalah kesalahan yang jelas kerana pemiliknya tidak mempunyai permit terhadap senjata-senjata itu, kata Zamri.

Kes itu disiasat di bawah Akta Senjata 1960, katanya.

Menurut Zamri, Polis Kedah dan Bukit Aman akan berhubung dengan Kedutaan Afrika Selatan untuk mengesan warganya yang memiliki kapal layar itu serta menyelidik latar belakangnya sama ada memiliki rekod polis atau tidak.

Katanya, ini merupakan kali pertama lelaki Afrika Selatan berusia 40-an itu memasuki Langkawi dan destinasi sebelum serta seterusnya selepas meninggalkan pulau peranginan itu juga masih disiasat.

Ketua Polis Kedah itu berkata, pemilik bot atau kapal asing perlu memaklumkan kehadiran mereka di perairan Langkawi kepada Jabatan Laut, sebelum berurusan dengan pemilik jeti untuk menempatkan bot mereka.

Mereka juga perlu membuat pengisytiharan kepada pihak Kastam tentang barangan yang dibawa oleh bot atau kapal mereka, katanya.

Pemilik juga perlu mengambil semula bot dan kapal mereka selepas tiga bulan menempatkannya di jeti, katanya.


Tags / Kata Kunci: Rebak Marina , kapal layar , Zamri Yahya

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan