Polis Rampas Dadah Bernilai RM98,600

Diterbitkan: Rabu, 4 Februari 2015 5:17 PM

Pelbagai dadah jenis pil kuda, Eramin 5, syabu dan wang dianggarkan bernilai RM98,600 setelah menahan empat individu berusia 21 dan 26 tahun pada Selasa.

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Polis Kelantan merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM98,600 dan menahan empat individu di hadapan sebuah kedai runcit di Jalan Pengkalan Chepa di sini pada Selasa. 

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata dalam kejadian itu, sepasukan polis dari unit Task Force Narkotik Negeri menahan dua lelaki berusia 21 dan 26 tahun pada 12.10 tengah malam. 

"Polis menemui 3,564 pil kuda, 300 biji Eramin 5 dan 20 gram syabu yang diletakkan pada bahagian tempat duduk penumpang depan, sebuah kereta di hadapan kedai tersebut.

"Kemudian pemeriksaan ke atas dua lagi suspek (di tempat sama) membawa kepada penemuan 70 biji pil kuda yang disembunyikan di dalam poket seluar," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, Rabu.

Mazlan berkata pihaknya turut menyita wang tunai RM17,460 milik seorang daripada suspek.

"Suspek dipercayai bergerak aktif mengedar dadah sejak dua bulan lalu di sekitar daerah Bachok dan Kota Baharu dan kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Mazlan berkata kesemua suspek ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tags / Kata Kunci: Rampas Dadah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan