Pelayan Restoran Rentung Dalam Kemalangan Babitkan Lima Kenderaan - Berita Jenayah | mStar

Pelayan Restoran Rentung Dalam Kemalangan Babitkan Lima Kenderaan

Diterbitkan: Sabtu, 31 Januari 2015 12:57 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pelayan restoran rentung dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Subang Jaya awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata kemalangan itu berlaku di kawasan perumahan Court 6, USJ 8 kira-kira pukul 3.15 pagi.
 
"Siasatan awal mendapati mangsa yang dikenali sebagai Muhamad Nadir Ismail, 23, dipercayai sedang memandu pulang ke kawasan rumahnya sebelum kenderaan yang dipandunya hilang kawalan dan melanggar empat buah kenderaan lain yang diletakkan berhampiran tepi jalan.

"Akibat kemalangan itu, dua kenderaan termasuk kereta yang dipandu lelaki itu terbakar. Mangsa dipercayai tidak dapat menyelamatkan diri berikutan tersepit dalam kenderaannya," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.

Mayat mangsa di bawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohamad Sani Harul mengesahkan pihaknya menerima panggilan berkenaan insiden itu pukul 3.05 pagi dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.
 
Sebanyak 10 anggota dan pegawai dari Balai Bomba Subang Jaya dikerahkan ke lokasi untuk membantu mengawal dan memadam api daripada dua buah kenderaan yang terbakar akibat kemalangan berkenaan.
Tags / Kata Kunci: rentung , pelayan restoran
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan