Polis Buru Dua Suspek Paling Dikehendaki Dalam Kes Curi Kereta

Diterbitkan: Rabu, 28 Januari 2015 10:13 PM

DIKEHENDAKI…Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh (kanan) bersama Ketua Penolong Pengarah JSJ, SAC Datuk Abd Manaf Abd Razak menunjukkan gambar dua suspek kes curi kenderaan pada sidang akhbar di Pusat Media, Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di Shah Alam, Rabu.-fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Polis sedang memburu dua suspek dipercayai anggota sindiket curi kenderaan mewah yang dikenali sebagai Nyo Ah Hai@Robin Hai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata kedua-dua suspek berada dalam senarai paling dikehendaki Bukit Aman dalam kes curi kereta berikutan Nyo yang dipenjarakan di Singapura tahun lepas.

"Lelaki yang dicari polis ialah Lee Tuck Sang@Ah Sang, 38 dan Lim Poay Weng@Romeo 43, masing-masing beralamat di Taman Bukit Mutiara Kajang, Selangor dan Desa Aulong Utama, Taiping, Perak. 

"Kedua-dua lelaki ini telah mengambil alih sindiket curi kereta Nyo," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Rabu.

Beliau berkata Lee mengendalikan operasi tempatan manakala Lim mengendalikan aktiviti sindiket ini di bahagian luar negara.

Mohmad berkata polis sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Imigresen untuk menentukan di mana kedua-dua lelaki ini berada.

Beliau menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat tentang di mana kedua-dua lelaki berada supaya menghubungi Asst Supt Mohd Khairuddin di 019-2722302 atau balai polis berhampiran dengan segera.

Dalam pada itu, Mohmad berkata polis berjaya menyelesaikan 12 kes curi kenderaan mewah bernilai RM1.6 juta di sekitar Lembah Klang dengan penahanan tiga lelaki dalam tiga serbuan di Pelabuhan Klang sejak Disember lepas.

Kesemua suspek itu berperanan sebagai 'jockey' yang mengambil dan menghantar kenderaan seperti diarahkan dan memasukkan kenderaan curi ke dalam kontena. 


Beliau berkata suspek yang berumur antara 31 dan 48 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira 10 pagi pada 8 Disember lepas di sebuah gudang di Taman Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, yang dijadikan tempat pengumpulan kenderaan curi.


"Dalam serbuan ke atas gudang itu, polis merampas tiga kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dilaporkan dicuri sekitar Lembah Klang," 

Beliau berkata tangkapan tiga suspek itu membawa polis ke sebuah kontena di Pelabuhan Utara di mana polis merampas dua buah lagi Toyota Hilux dan sebuah Toyota Fortuner yang dilaporkan dicuri.


Hasil pendedahan suspek, polis ke Pelabuhan Barat pula pada 21 Januari lepas dan merampas enam lagi kenderaan pacuan empat roda iaitu empat Toyota Hilux dan dua Toyota Fortuner dari dua kontena sebelum proses imbasan dilakukan ke atas kontena itu. 

Beliau berkata kesemua kenderaan itu didapati belum setahun didaftar oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan cuba diseludup keluar dari Malaysia melalui jalan laut ke sebuah pelabuhan di Dubai.
Tags / Kata Kunci: sindiket curi kereta , Nyo Ah Hai , Robin Hai

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan