Daun Khat Mengkhayalkan Diseludup Ke Malaysia

Diterbitkan: Jumaat, 9 Januari 2015 2:47 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis mengesan dadah organik sejenis daun dinamakan Khat, yang digunakan masyarakat Timur Tengah dengan cara mengunyahnya kini mula diseludup ke negara ini secara besar-besaran.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata dadah berkenaan dibawa masuk melalui syarikat kiriman barang dan sindiket dadah memalsukan dokumentasi penghantaran daun itu dengan mengisytiharkannya sebagai daun teh dan daun inai.

Beliau berkata hasil siasatan Jabatan Kimia mendapati daun berkenaan mengandungi dadah jenis Cathinone iaitu bahan, yang mengkhayalkan seperti ephiderin dan amphetamine.

"Ia dadah baharu yang diseludup masuk ke Malaysia untuk kegunaan masyarakat Timur Tengah di sini dan mereka mengunyahnya untuk khayal. Kita khuatir jika tidak dibendung ia akan merebak dan digunakan oleh penagih tempatan," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Katanya pendedahan itu dibuat berdasarkan maklumat awam dan tindakan operasi serbuan pasukan Narkotik Polis Bukit Aman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Rabu lepas dan di sekitar Selangor serta ibu negara, semalam.

Dalam dua serbuan itu polis menahan empat lelaki, iaitu dua warga tempatan, seorang dan seorang warganegara Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kesemua mereka berusia antara 19 dan 54 tahun dan kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh membawa hukuman mati mandatori.

Noor Rashid berkata polis turut merampas 10 kotak, yang mengandungi daun tersebut seberat 90.78 kilogram dianggarkan bernilai RM50,000. Daun itu diseludup dari Uganda, Afrika.

"Siasatan awal polis mendapati lelaki Yemen telah memasuki negara ini menggunakan pas pelawat beberapa minggu lepas manakala lelaki warga UAE itu merupakan pelajar kolej swasta di ibu negara," katanya.

Polis juga percaya terdapat warga tempatan yang bersubahat dalam penyeludupan dadah itu.

Beliau memberi jaminan pemantauan dan risikan akan sentiasa dijalankan bagi membendung penyeludupan dadah tersebut.


Tags / Kata Kunci: Daun Khat , Polis , Khayal

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan