KPN Nafi Kumpulan 14K Wujud Di Negara Ini - Berita Jenayah | mStar

KPN Nafi Kumpulan 14K Wujud Di Negara Ini

Diterbitkan: Isnin, 5 Januari 2015 9:09 PM

Khalid Abu Bakar.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Isnin menafikan dakwaan bahasa sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dikenali sebagai kumpulan 14K wujud di negara ini.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan terdapat rakyat Malaysia menyertai kumpulan itu di luar negara, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Intergriti Ketua Polis Balai di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini Isnin.

Khalid berkata kewujudan undang-undang yang ketat dalam membasmi aktiviti pengedaran dadah telah menyekat kemasukan kumpulan terbabit di negara ini.

Menyentuh mengenai rakyat Malaysia Paul Phua Wei Seng dan anaknya, Darren Wai Kit Phua yang kini ditahan di Amerika Syarikat untuk dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menjalankan operasi perjudian haram semasa pertandingan bolasepak Piala Dunia 2014 di negara itu, beliau enggan mengulas kerana proses pendakwaan sedang dijalankan ke atas Phua dan anaknya.

Beliau hanya berkata: "Nasihat saya kepada Phua, fokus kepada pendakwaannya." 

Beliau turut mengesahkan pihaknya sentiasa berhubung dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengenai perkara itu.

Sementara itu, Khalid turut menyatakan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) masih berada di dalam seliaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beliau tidak bercadang untuk mengasingkannya daripada PDRM.

JIPS ditubuhkan 25 Julai tahun lalu bertujuan memantapkan integriti pegawai di samping memastikan tugas dilaksanakan dengan mematuhi standard yang telah ditetapkan oleh PDRM.
Tags / Kata Kunci: JIPS , Kumpulan 14K , Khalid Abu Bakar
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan