19 Mangsa Diselamatkan, Enam Mangsa Masih Hilang di Gunung Gagau - Berita Jenayah | mStar

19 Mangsa Diselamatkan, Enam Mangsa Masih Hilang di Gunung Gagau

Diterbitkan: Rabu, 24 Disember 2014 9:25 PM

(Ubah saiz teks)

HULU TERENGGANU: Lima belas kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) dan empat anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dibawa keluar dari kaki Gunung Gagau dekat Tasik Kenyir, pada 3.45 petang tadi, manakala enam lagi masih hilang.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Nor Mahathir Muhamad berkata mangsa yang masih hilang itu dipercayai terpisah dengan kumpulan yang ditemui hari ini kerana menggunakan laluan berbeza untuk keluar dari kawasan berkenaan.
 
"Enam mangsa yang belum dijumpai itu dipercayai bergerak menggunakan laluan lain ke arah Tasik Kenyir, namun kami yakin mereka tidak jauh dari tempat kumpulan hari ini ditemui," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. 

Beliau berkata semua mangsa yang diselamatkan itu berada dalam keadaan sihat dan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut. 

Kumpulan Jupem dan PGA yang terbahagi kepada dua kumpulan, memasuki kawasan pergunungan itu pada 5 Dis lepas untuk melakukan kerja-kerja mengukur sempadan Terengganu/Kelantan dan menyiapkan tugasan pada 14 Dis, sebelum dijadual pulang pada 19 Dis.

Namun, cuaca buruk menyebabkan helikopter untuk membawa mereka pulang tidak dapat mendarat.

Pada Isnin lepas, 26 orang yang terdiri daripada 22 petugas Seksyen Topografi Jupem serta empat anggota PGA, diselamatkan setelah mereka terkandas selama empat hari di puncak Gunung Gagau.

Nor Mahathir berkata operasi menyelamat mangsa yang masih hilang itu akan diteruskan esok, berikutan cuaca buruk, laluan licin serta arus deras di hulu Tasik Kenyir hari ini.
 
"Kita akan teruskan operasi melalui laluan air dan darat esok. Kita tidak dapat melakukan operasi melalui udara kerana cuaca buruk ketika ini," katanya.
Tags / Kata Kunci: Gunung Gagau
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan