Pelajar Tingkatan Dua Ditahan Terlibat Skim Gores & Menang

Diterbitkan: Khamis, 18 Disember 2014 10:47 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Seorang pelajar tingkatan dua antara 35 yang ditahan kerana terlibat dengan kegiatan gores dan menang di Pahang sejak Januari hingga 16 Disember lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang Supt Azizan Md Isa berkata, kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 14 hingga 45 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan ada yang masih dalam proses untuk dituduh di mahkamah.

"Sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 14 kes telah dilaporkan dengan melibatkan kerugian sebanyak sejumlah RM385,900.

"Polis juga telah merampas sebanyak 22 barangan yang digunakan dalam aktiviti berkenaan antaranya ialah mesin urut kaki, dan tilam jed yang dianggar bernilai RM59,044," katanya.

Katanya, modus operandi yang digunakan sindiket terbabit ialah mendekati serta memperdaya mangsa dengan menawarkan hadiah lumayan melalui aktiviti gores dan menang.

"Mereka nekad melakukan aktiviti itu walaupun menyedari ia bersalahan dari segi undang-undang berikutan keuntungan tinggi dan masih ada mangsa yang masih mudah untuk ditipu biarpun media telah mengeluarkan banyak berita tentang kes ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati serta jangan mudah terpedaya dengan tawaran hadiah lumayan yang ditawarkan oleh sindiket gores dan menang.

"Pihak polis daripada JSJK Pahang sentiasa melakukan pemantauan ke atas aktiviti itu dan mengalu-alukan penyaluran sebarang maklumat daripada orang ramai," katanya.
Tags / Kata Kunci: skim gores dan menang , Pahang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan