Bayi Dikhuatiri Lemas Terlepas Dari Dukungan Ibu

Diterbitkan: Khamis, 18 Disember 2014 8:55 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Seorang bayi perempuan berusia setahun lapan bulan dikhuatiri lemas dihanyutkan arus selepas dia terlepas daripada dukungan ibunya yang mengharungi banjir untuk ke pusat pemindahan.

Dalam kejadian 3 pagi Khamis di Kampung Sepertang, Telekong, Kuala Krai di sini, ibu mangsa bersama tiga lagi anaknya yang lain sedang mengharungi air untuk ke pusat pemindahan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata usaha mencari Nur Adriana Adila masih dilakukan.

"Bayi berkenaan terlepas daripada tangan ibunya dan terus dibawa arus yang deras. Pada masa itu air sedang naik dan mencapai paras paha," katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa-mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Sri Ketereh, di sini, Khamis.

Mazlan berkata ketika kejadian, bapa mangsa tiada bersama keluarga berkenaan kerana bekerja di Kuala Lumpur. 

"Kita nasihatkan kepada orang ramai supaya memaklumkan kejadian banjir di kawasan masing-masing dan meminta bantuan daripada pihak berkuasa sekiranya perlu," katanya.

Beliau menasihati mangsa banjir berpindah dengan segera apabila diarahkan oleh pihak berkuasa.
 
Mazlan turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak sepanjang musim banjir bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingani.

Sementara itu, dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 25 tahun ditemui mati di kawasan yang digenangi air akibat hujan lebat, berhampiran Sekolah Kebangsaan Long Ghafar, Kubang Kerian di sini, kira-kira pukul 11 pagi. 

Mazlan berkata mangsa, Baharum Mohamad, seorang pekerja kedai santan dipercayai lemas selepas diserang penyakit sawan. 

"Mangsa kemungkinan lemas pada malam Rabu kemudian dihanyutkan arus dan mayat mangsa dilihat oleh orang awam di kawasan tersebut," katanya.
Tags / Kata Kunci: bayi , lemas , Nur Adriana Adila

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan