Sabah Tumpu Kepada Penahanan Dan Penghantaran Pulang Pendatang Asing

Diterbitkan: Rabu, 10 Disember 2014 9:41 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan memberi tumpuan terhadap penahanan dan penghantaran pulang pendatang tanpa izin di samping membendung kemasukan warga asing secara haram. 

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menegaskan ia adalah sebahagian daripada langkah drastik yang akan diambil untuk menangani masalah pendatang tanpa izin yang sejak sekian lama menghantui penduduk di Sabah.

"Bagi fokus pertama (penahanan dan penghantaran pulang pendatang tanpa izin), kami meneliti butiran beberapa aspek yang perlu ditambah baik dalam operasi sedia ada oleh agensi berkaitan.

"Kami bersetuju untuk memperkenalkan semula secara segera operasi bersepadu dan saya telahpun mengarahkan persediaan praoperasi dilakukan secepat mungkin untuk memperkukuhkan operasi yang akan dilaksanakan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Musa mempengerusikan dua mesyuarat berkaitan keselamatan di Sabah iaitu Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri dan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Ketua Menteri berkata fokus pertama akan turut merangkumi peningkatan keupayaan Pusat Tahanan Sementara yang pada masa ini boleh menempatkan 5,000 orang pada satu-satu masa. 

Beliau menjelaskan lokasi sesuai dan bangunan yang boleh diubah suai serta diwartakan sebagai Pusat Tahanan Sementara telah pun dicadang bagi memastikan keupayaan untuk menahan dapat dipertingkatkan tanpa sebarang kelewatan yang lazimnya berlaku ketika pembinaan pusat baharu.

Katanya terdapat juga keperluan untuk menyemak dan menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan proses penghantaran pulang pendatang tanpa izin, yang turut merangkumi aspek seperti reman, siasatan, dokumentasi danjadual penghantaran pulang.

"Sungguhpun SOP sedia ada sudah ditambah baik daripada purata enam bulan hingga dua bulan, tempoh ini masih dilihat agak lama dan memerlukan kos operasi yang tinggi dari segi penyediaan makanan kepada tahanan, penyelenggaraan dan keselamatan.

"Penambahbaikan SOP ini akan memerlukan rundingan dan kerjasama daripada negara asal memandangkan komitmen diperlukan daripada negara berkenaan dalam usaha mengurangkan masa yang diambil untuk menghantar pulang tahanan," katanya

Dalam hubungan ini, Musa berkata Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri ditubuhkan untuk membuat susulan terhadap dua tindakan yang akan dilaksanakan dan untuk mengetuai pelaksanaan operasi bersepadu itu. 

Beliau turut menggesa semua pihak terutamanya majikan dalam memastikan pekerja mereka mempunyai dokumen dan permit kerja yang sah, manakala pemimpin masyarakat, ketua kampung dan pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung pula diarah supaya memberi kerjasama kepada agensi keselamatan dengan menyalurkan maklumat berkaitan pendatang tanpa izin di kawasan masing-masing.

Beliau memberi amaran tindakan akan diambil terhadap mereka yang melindungi pendatang tanpa izin. Bagi fokus kedua (membendung kemasukan warga asing secara haram), Musa berkata kerajaan bersetuju untuk memperluaskan strategi sedia ada dalam menguat kuasakan perintah berkurung di ESSZone, yang akan diperkukuhkan lagi dengan cadangan melaksanakan strategi baharu untuk mewartakan pulau yang digunakan oleh pendatang tanpa izin dan penjenayah sebagai Kawasan Larangan. 

"Strategi ini penting kerana pulau dalam perairan ESSZone adalah antara lokasi jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan, penculikan dan penyembunyian pendatang tanpa izin sebelum mereka memasuki Sabah," katanya, dan menambah terdapat lebih 360 pulau dalam ESSZone dan 83 daripada pulau itu terletak di Semporna.

Secara prinsip, Musa berkata pelaksanaan untuk mewartakan pulau yang disasarkan itu sebagai Kawasan Larangan bergantung kepada kajian yang akan dijalankan oleh sebuah jawatankuasa bertindak.

"Sama dengan strategi perintah berkurung, kami yakin strategi Kawasan Larangan akan mewujudkan kesan ketara dalam agenda kami untuk membendung kemasukan pendatang tanpa izin.

"Ini sebaliknya akan membantu kerajaan negeri dalam mengatasi masalah pendatang tanpa izin yang menjadi fokus utama kami pada masa depan," katanya.

Tags / Kata Kunci: pendatang asing sabah

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan