15 Warga Myanmar Ditahan, Bantu Siasatan 18 Kes bunuh

Diterbitkan: Khamis, 4 Disember 2014 3:47 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menahan 15 warga Myanmar bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes bunuh membabitkan rakan senegara mereka termasuk kes penemuan anggota badan di Bukit Mertajam dan Nibong Tebal baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata 15 lelaki berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan di beberapa lokasi termasuk negeri lain sejak dua minggu lepas.

"Terbaharu polis menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 40-an di Rawang, Selangor bagi membantu siasatan kes bunuh di Pulau Pinang dan dia bersama 14 lagi rakan senegaranya kini direman.

"Sebanyak 15 orang yang ditahan itu positif dalam siasatan polis membabitkan 18 kes bunuh warga asing di Pulau Pinang. Kami percaya penahanan mereka juga mampu membendung kegiatan bunuh (warga asing)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kempen Menangani Keganasan ke Atas Wanita, di sini, Khamis.

Katanya siasatan polis mendapati kebanyakan kes bunuh yang membabitkan warga Myanmar di Pulau Pinang adalah bermotifkan dendam antara mereka di negara mereka.

"Ada juga bermotifkan hutang, mabuk dan perselisihan faham. Bagaimanapun siasatan kami mendapati banyak kes yang membabitkan warga Myanmar itu adalah dendam dari negara asal mereka," katanya.

Abdul Rahim berkata mereka menyerang mangsa menggunakan parang dan bertindak memotong anggota badan manusia sebelum membuang di beberapa lokasi lain seperti tali air, tempat pembuangan sampah dan tepi jalan.

"Berdasarkan keadaan mayat, polis dapat tahu mangsa dari negara mana terutama warga Myanmar kerana modus operandi mereka adalah menggunakan parang dan bukan senjata api," katanya.

Sementara itu, beliau berkata beberapa anggota badan yang ditemui sebelum ini dipercayai milik warga Myanmar, bagaimanapun identiti mereka masih belum dikenal pasti.

Katanya laporan bedah siasat kes membabitkan penemuan beberapa anggota badan itu telah diterima dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Kami percaya ada yang ditahan itu (15 orang) terlibat dalam kes penemuan beberapa anggota badan berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Abdul Rahim turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Pada 24 Nov lepas, satu bungkusan berisi kepala manusia ditemui di tiang berhampiran sebuah kedai makan di Taman Impian Ria, Bukit Mertajam dekat sini dan pada Khamis pula, mayat tanpa kepala dan tangan yang disumbat dalam guni ditemui penduduk kampung dalam tali air di Sungai Bakap.

Terbaru pada Isnin lepas kepala dan tangan kiri dari lengan hingga tapak tangan ditemui dalam beg plastik berhampiran tong sampah di Machang Bubok, dekat sini.


Tags / Kata Kunci: Bunuh

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan