Rai Prajurit Komunis, 13 Dirakam Keterangan

Diterbitkan: Khamis, 4 Disember 2014 4:34 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang telah mengambil keterangan daripada 13 individu bagi membantu siasatan berhubung majlis makan malam parajurit Parti Komunis Malaya (PKM) di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng, Perai dekat sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata antaranya adalah pihak yang terlibat menganjur majlis itu.

"Kami minta penganjur, mereka yang hadir majlis berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penganjuran makan malam itu supaya tampil membantu polis melengkapkan siasatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Menangani Keganasan ke Atas Wanita di sini, Khamis.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 505b Kanun Keseksaan.

"Setakat ini, laporan polis berhubung makan malam itu masih kekal 24 laporan iaitu 22 dibuat di Pulau Pinang manakala dua lagi di Johor," katanya.

Kira-kira 800 orang dipercayai keluarga dan bekas anggota PKM dari Malaysia dan Thailand menghadiri majlis makan malam itu yang dianjurkan Persatuan Persahabatan Abad Ke-21 Malaysia itu pada 29 Nov lepas.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata pihaknya menyambut baik maklumat daripada orang ramai untuk membantu pihaknya membanteras aktiviti perjudian, pelacuran dan pusat hiburan tanpa lesen di Pulau Pinang.

"Kami minta kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti terbabit, mereka boleh salurkan supaya tindakan tegas dapat diambil.

"Saya juga sahkan sehingga hari ini tiada lagi aktiviti pejudian haram dan pelacuran di Pulau Pinang," katanya sambil menegaskan polis tetap meneruskan operasi bagi membendung kegiatan itu.

Menurutnya, sebelum ini polis jalankan pelbagai operasi dan merampas lebih 6,000 mesin judi dan menahan 441 orang terbabit dalam aktiviti itu.

Abdul Rahim mengulas laporan akhbar semalam yang melaporkan Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang menggerakkan anggotanya untuk mengumpul maklumat dan bukti berhubung kewujudan aktiviti perjudian, pelacuran dan pusat hiburan tidak berlesen di negeri ini.

Ketua Pemudanya Rafizal Abdul Rahim berkata semua maklumat berkaitan aktiviti haram itu akan diserahkan kepada Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang minggu depan sebelum dihantar kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Beliau berkata laporan media dan statistik yang dikeluarkan ketua polis negeri itu jelas menunjukkan dakwaan tentang kegiatan haram berkenaan benar-benar berlaku di negeri ini seperti dibangkitkan Ketua Umno bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said pada Perhimpunan Agung Umno Jumaat lepas.


Tags / Kata Kunci: Komunis , PKM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan