Polis Tahan Lelaki Bantu Siasatan Kematian Warga Emas

Diterbitkan: Ahad, 30 November 2014 5:12 PM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Polis pada Ahad menahan seorang lelaki selepas seorang lelaki warga emas mati setelah dipercayai terlibat dalam pertengkaran keluarga di sebuah rumah di Taman SeriPagi, Senawang dekat sini, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Muhamad Zaki Harun berkata, polis telah mendapatkan perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 20 tahun ini sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

"Ketika ditahan, ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah methamphetamine. Lelaki itu adalah cucu si mati," katanya.

Sementara itu, Muhamad Zaki berkata hasil bedah siasat terhadap lelaki warga emas itu mendapati sebab kematian adalah akibat serangan jantung.

Katanya mangsa, R. Palaniadi, 67, merupakan pesakit jantung yang serius dan tidak boleh menghadapi tekanan atau ketakutan yang melampau.

"Siasatan polis akan menjurus ke arah itu, tetapi masih mengumpul bukti dan saksi lain. Kes disiasat di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai cuba meleraikan pergaduhan antara suspek dan ibunya di dalam rumah mereka pada pukul 6 petang.

Mangsa dipercayai turut terbabit dalam pergelutan dengan suspek. Mangsa yang menetap di rumah sama kemudian terjatuh sebelum disahkan mati.

Suspek kemudian melarikan diri dengan menunggang motosikal selepas kejadian itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan