Polis Tahan Empat Lelaki Samun Kedai Emas Di Ringlet

Diterbitkan: Selasa, 18 November 2014 8:08 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Empat penjenayah terpaksa berputih mata kerana tidak sempat menikmati hasil samun sebuah kedai emas di Ringlet, Cameron Highlands selepas ditahan kurang dua jam selepas melakukan jenayah itu petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, tiga daripada penjenayah itu ditahan petang semalam manakala seorang lagi menyerah diri di Balai Polis Brinchang pada pukul 10 pagi tadi.

"Dua suspek ditangkap di dalam hutan berhampiran ketika melarikan diri manakala seorang lagi diberkas semasa bersembunyi di dalam sebuah rumah kosong antara jam 3 hingga 7 petang semalam," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Beliau berkata dalam rompakan kira-kira kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, empat lelaki bertopeng bersenjatakan objek tajam telah menyamun sebuah kedai emas di Ringlet, Cameron Highlands dan melarikan sejumlah barang kemas.

Menurutnya, suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hitam.

"Semasa suspek hendak melarikan diri kereta penjenayah itu telah dirempuh pacuan empat roda jenis Hilux dan sebuah teksi jenis Proton Saga menyebabkan suspek lari meninggalkan beg berisi barang-barang kemas itu," katanya.

Wan Shamsudin berkata, tindakan pantas polis kemudiannya berjaya mengesan dan menangkap suspek terbabit tidak sampai dua jam selepas kejadian.

Katanya, kesemua suspek yang berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu kini ditahan di lokap Ibupejabat Polis Daerah Cameron Highlands untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan