Dua Lelaki Tempatan Pintas Emel Ditahan

Diterbitkan: Khamis, 6 November 2014 5:23 PM

(Ubah saiz teks)

NIBONG TEBAL: Polis menahan dua lelaki yang dipercayai memintas emel pesanan pembekal kacang hazel dari Turki menyebabkan seorang usahawan kacang dari Lubnan kerugian RM694,000. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Wan Hassan Wan Ahmad berkata dua peniaga lelaki rakyat tempatan berusia 38 dan 42 tahun itu masing-masing ditahan di sini pada Isnin dan Rabu.

"Pada 24 September lepas, saudagar kacang berusia 32 tahun itu menghantar emel pesanan kacang hazel kepada pembekal di Turki tetapi tanpa disedarinya emel milik pembekal itu dipintas pihak tertentu yang mengarahkan lelaki terbabit membuat pembayaran ke satu akaun perniagaan melalui sebuah bank tempatan di Nibong Tebal.

"Menerusi emel pihak tertentu itu mendakwa mereka adalah anak syarikat pembekal di Turki dan mangsa yang mempercayainya terus memindahkan wang RM694,000 ke akaun terbabit. Transaksi itu menggunakan mata wang USD," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Beliau berkata mangsa hanya menyedari wang itu dimasukkan ke akaun pihak lain selepas dimaklumkan pembekal yang mendakwa belum menerima pembayaran berkenaan ketika membuat semakan semula keesokan harinya.

Wan Hassan berkata mangsa datang ke Malaysia pada 13 Oktober dan mendapati berlaku transaksi antara akaunnya dan akaun syarikat berkenaan apabila membuat semakan dengan pihak bank di Kuala Lumpur.

"Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur. Polis juga sedang mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu," katanya.

Beliau berkata sebanyak RM50,000 daripada RM694,000 telah dikeluarkan daripada akaun berkenaan dan polis telah mengarahkan akaun terbabit dibekukan sehingga siasatan kes selesai.

Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menyiasat sama ada dua lelaki terbabit mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa yang pernah memintas akaun emel untuk mengaut wang dengan cara mudah, katanya.


Tags / Kata Kunci: pintas , emel , Supt Wan Hassan Wan Ahmad

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan