Suspek Ditembak Di Penampang Dipercayai Berkait Dengan Tentera Diraja Sulu

Diterbitkan: Rabu, 5 November 2014 11:47 AM

Jalaluddin Abdul Rahman
(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Dua suspek yang ditembak di Penampang Baru dekat sini minggu lalu mungkin mempunyai kaitan dengan tentera diraja Sulu (RSF), kata Komisioner Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan siasatan mendapati suspek turut terbabit dalam aktiviti jenayah lain di Sabah termasuk merompak dan menculik untuk mendapat wang tebusan.

Seorang suspek yang mati dipercayai merupakan ketua bagi kumpulan yang mempunyai kaitan dengan RSF.

"Terdapat banyak kumpulan (mempunyai kaitan dengan RSF) di Sabah dan selatan Filipina. Jumlahnya masih disiasat," katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kontinjen Polis Sabah di sini, Rabu.

Jalaluddin berkata suspek menyasar beberapa kawasan untuk merompak bagi memperoleh wang untuk membiayai dan memperkukuh aktiviti jenayah mereka dengan kumpulan militan Sulu.

Beliau berkata siasatan juga sedang dilakukan mengenai soal pengrekrutan anggota RSF di Sabah.

Mengenai mangsa yang diculik di Kunak dan Pulau Mabul, Jalaluddin berkata pihak polis masih berusaha untuk membawa mereka pulang menerusi kerjasama pasukan keselamatan Filipina.

Pada 16 Jun lalu, penternak ikan dalam sangkar Chan Sai Chiun, 32, diculik di Kampung Sapang Air, Kunak selepas kumpulan bersenjata menyerbu rumahnya pada lewat malam.

Pada 12 Julai pula, anggota polis marin Zakiah Aliep, 26, diculik selepas di serang hendap kumpulan bersenjata di sebuah resot di Pulau Mabul, Semporna pada pukul 11.10 malam yang turut menyaksikan rakannya Korporal Rajah Jamuan, 32, terbunuh.

Jalaluddin turut mengumumkan perintah berkurung di enam daerah di pantai timur Sabah iaitu Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau akan dilanjut dari 7 hingga 22 Nov selepas ia berakhir esok.

"Perintah berkurung harian dari 7 malam hingga 5 pagi masih perlu di pantai timur Sabah bagi membanteras jenayah rentas sempadan dan bagi memastikan keselamatan orang ramai dan pelancong," katanya.


Tags / Kata Kunci: Sulu , Penampang , Polis

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan