Tempoh Reman Bapa Bayi 4 Bulan Meninggal Dunia Dilanjutkan - Berita Jenayah | mStar

Tempoh Reman Bapa Bayi 4 Bulan Meninggal Dunia Dilanjutkan

Diterbitkan: Isnin, 3 November 2014 11:43 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Polis melanjutkan tempoh tahanan reman seorang lelaki berusia 38 tahun bagi membantu siasatan berhubung kematian anaknya yang berusia empat bulan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata lelaki itu akan ditahan selama seminggu lagi, bermula Selasa.

Tambahnya, lelaki berkenaan yang juga mempunyai tiga orang anak lain berumur antara dua bulan dan lapan tahun, telah menjalani penilaian perubatan dan didapati berada dalam keadaan sihat.

Keluarganya tinggal di kawasan perumahan di SS2 di sini.

"Kami telah merakamkan kenyataan daripada 18 jiran setakat ini," katanya. 

Terdahulu, dilaporkan bahawa bayi perempuan tersebut disahkan meninggal dunia selepas beberapa minit dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Sungai Buloh pada 24 Oktober dan ibu bapa bayi itu ditangkap pada 26 Oktober. 

Mereka mendakwa anak perempuan mereka patah lengan dan mengalami lebam-lebam setelah jatuh tangga dua hari sebelum kematiannya.

Punca kematian dikatakan akibat mengalami kecederaan trauma di kepala dan luka parah juga didapati di bahagian kepala, tangan kanan dan belakang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata kematian bayi itu diklasifikasikan sebagai pembunuhan kerana tahap kecederaannya.

Polis tidak menyatakan jika tempoh reman untuk ibu kanak-kanak itu akan dilanjutkan.
Tags / Kata Kunci: tahan reman
   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan