Godam Mesin ATM, PDRM Mohon Bantuan Interpol

Diterbitkan: Isnin, 3 November 2014 4:35 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memohon bantuan Interpol di Perancis untuk membantu berhubung kes menggodam 17 buah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di empat buah negeri September lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Siber dan Multimedia) PDRM, SAC Mohd Kamarudin Md Din berkata pihaknya telah menghantar 'notis ungu' kepada Interpol bagi mendapatkan kerjasama dalam memperoleh maklumat termasuk modus operandi, prosedur dan tempat persembunyian penjenayah terbabit.

"Kita mohon kerjasama Interpol kerana kita percaya penjenayah telah melarikan diri ke luar negara dan kini dalam persembunyian," katanya kepada Bernama.

Kes penggodaman tersebut membabitkan empat buah perbankan di ibu negara, Selangor, Melaka dan Johor Baharu dengan anggaran kerugian melebihi RM3 juta yang dipercayai dilakukan sindiket warga negara Amerika Latin.

Sindiket dipercayai menyuntik virus malware 'ulssm.exe' dengan memasukkan cakera padat (CD) ke dalam pembaca cakera padat (CD-ROM) yang terdapat di dalam mesin-mesin berkenaan.

Kaedah itu dilaporkan mampu menipu sistem pengkomputeran bank sebelum wang di dalam ATM dikeluarkan menggunakan panel kekunci dengan memasukkan kod tertentu yang diterima melalui panggilan telefon daripada rakan anggota sindiket.

Bagaimanapun kehilangan wang dari mesin ATM itu tidak melibatkan wang pemilik akaun.
Tags / Kata Kunci: rompak ATM , Interpol , Mohd Kamarudin Md Din

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan