LPK, Westports Siasat Kemalangan Dua Kapal Kontena

Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 8:41 PM

(Ubah saiz teks)

PELABUHAN KLANG: Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Westports dan Jabatan Laut memulakan penyiasatan terhadap kejadian dua kapal kontena bergesel dan menyebabkan berlaku kebakaran di Westports, kira-kira satu kilometer dari sini, Selasa.

Pengerusi LPK Tan Sri Kong Cho Ha berkata pihak berkuasa mengambil langkah untuk memastikan kejadian melibatkan kapal MV Al Riffa dan MV San Felipe itu tidak memberi kesan terhadap alam sekitar.

"LPK juga bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan, pemilik atau pengurus kapal terbabit serta pakar yang dilantik syarikat insurans kapal terbabit untuk memadam sepenuhnya kebakaran di atas kapal MV San Felipe," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan pengurus besar LPK Datuk Kapten David Padman dan ketua pegawai operasi Westports Malaysia Ian James tentang kejadian itu di sini, Rabu.

Pada kira-kira 7.30 malam, MV San Felipe bergesel dengan MV Al Riffa, yang berlabuh di dermaga berhampiran dan menyebabkan kedua-dua kapal terbakar.

Kebakaran di atas kapal MV Al Riffa berjaya dipadam dalam masa sejam, manakala MV San Felipe ditunda kira-kira satu kilometer ke laut daripada dermaga untuk mengelak kebakarannya daripada merebak.

Kerja memadam kebakaran kapal itu menggunakan sembilan bot tunda sedang diteruskan.

Sementara itu, Kong berkata pada Selasa malam bahawa pergerakan kapal di Pintu Gedung dihadkan dan keutamaan diberi mengikut kes, manakala Pulau Angsa terus dibuka kepada semua trafik.

"Semua larangan pelayaran melalui Pintu Gedung telah ditarik balik dan pergerakan keluar masuk kapal daripada Pelabuhan Klang disambung semula," katanya.

Tags / Kata Kunci: LPK , Westports

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan