Lima Ditahan, 11 Rumah Haram Diroboh Di Hutan Bakau Sandakan

Diterbitkan: Selasa, 28 Oktober 2014 1:49 PM

Bot Jabatan Perhutanan Sabah digunakan ketika operasi bersepadu merobohkan rumah yang didirikan di tanah haram di kawasan hutan simpan bakau sekitar daerah ini pada 29 September lepas.

(Ubah saiz teks)

SANDAKAN: Sebanyak 11 rumah diroboh dalam Operasi Bersepadu oleh Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) bagi membanteras pencerobohan kawasan hutan bakau di sekitar daerah ini.

Lima orang ditahan dalam operasi yang dilaksanakan pada 29 September itu,empat daripadanya kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Enakmen Hutan 1968, manakala seorang lagi ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri.

Pengarah JPS Datuk Sam Mannan dalam kenyataan pada Selasa berkata sasaran operasi kali kedua itu membabitkan empat lokasi iaitu Sekong Kecil, Sedungor, Sepinong dan Papahan terletak di sekitar teluk Sandakan dan termasuk dalam Hutan Simpan Bakau (Kelas V) Elopura. 

Menurutnya tiga rumah haram yang dimusnahkan tiada penghuni di Sekong Kecil, tiga (lima penghuni) di Sedungor dan lima (tiada penghuni) di Sepinong.

Sebuah pondok baharu yang dihuni lima orang turut dikesan di Papahan,katanya.

Sam berkata kawasan yang diceroboh dalam perkampungan haram itu dianggarkan seluas 17.3 hektar termasuk dua hektar yang baru ditemui ketika operasi susulan kedua tersebut. 

Beliau berkata operasi itu merupakan operasi susulan dengan objektif untuk mengusir saki-baki pendatang asing tanpa izin (Pati) yang masih berada dalam kawasan hutan simpan bakau dan juga memusnahkan saki baki rumah yang masih belum dirobohkan setelah tamat tempoh notis keluar dari hutan simpan semasa operasi pertama.

Katanya langkah itu diambil untuk memastikan hutan simpan bebas daripadatempat persembunyian Pati. 

Menurutnya tindakan itu selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Enakmen Hutan 1968 dan sebelum operasi berkenaan dilaksanakan, tinjauan di lapangan dengan menggunakan bot dan juga tinjauan udara dengan helikopter dilaksanakan. 

Sam berkata dalam operasi kedua ini, sebanyak 130 orang anggota terlibat iaitu 80 anggota daripada JPS dan 50 anggota daripada agensi penguatkuasaan yang lain.

Katanya projek pemulihan hutan dengan aktiviti penanaman spesies pokok bakau yang sesuai akan terus dilaksanakan di lokasi bekas kawasan perkampungan haram seluas 17.3 hektar itu dalam tempoh yang terdekat. 

Operasi pertama dilaksanakan pada 26 Mei lepas, sebanyak 13 pendatang ditahan, dan sebanyak 88 rumah haram dirobohkan. 

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan