UPSR Bocor: Polis Nafi Cadangkan Dakwa Dua Guru

Diterbitkan: Isnin, 27 Oktober 2014 3:17 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis menafikan dakwaan ia mencadangkan dua guru untuk didakwa berhubung kes kebocoran kertas peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata, polis masih melakukan kertas siasatan itu dan tiada cadangan yang dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara mengenai dua guru terbabit.

"Kita masih dalam peringkat untuk memastikan kertas siasatan lengkap untuk pendakwaan.

"Ia terlalu awal untuk membuat penetapan kertas siasatan, apatah lagi mencadangkan dua guru untuk didakwa berhubung kes berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau mengulas mengenai laporan sebuah portal berita yang memetik sumber bahawa polis mencadangkan dua guru untuk didakwa berikutan kebocoran kertas peperiksaan UPSR.

ACP Khairi mengesahkan bahawa kertas siasatan hanya akan dilengkapkan dalam tempoh dua minggu.

"Kertas siasatan masih dengan kita dan disusuli dengan perbincangan bersama Jabatan Peguam Negara.

"Pendakwaan dalam kes kebocoran USPR ini di bawah kuasa Jabatan Peguam Negara," katanya.

Kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi 1972 kerana mendedahkan rahsia rasmi dan menyebarkan maklumat itu kepada orang lain.

Mereka yang didapati bersalah akan berhadapan dengan hukuman penjara maksimum tujuh tahun.

Seramai 14 orang melibatkan 12 guru, seorang ejen insurans dan seorang jurutera telah ditahan dan disoal siasat oleh pihak polis.

Kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada 22 September lalu.

Isu UPSR 2014 mula tercetus pada pertengahan September lalu apabila kertas peperiksaan itu bagi subjek Sains dan Bahasa Ingeris bocor.

Ia disusuli dengan kebocoran kertas peperiksaan Bahasa Tamil dan Matematik.

Lebih 470,000 calon UPSR menduduki peperiksaan itu di seluruh negara terjejas akibat kebocoran itu.

Tags / Kata Kunci: UPSR Bocor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan