ESSCom Tembak Mati Penjenayah Rentas Sempadan

Diterbitkan: Ahad, 26 Oktober 2014 3:21 PM

(Ubah saiz teks)

SEMPORNA: Seorang suspek lelaki dipercayai penjenayah rentas sempadan ditembak mati dalam operasi oleh pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di kawasan perairan Bangau Bangau, di sini awal pagi Ahad.

Komander ESSCom Datuk Abdul Rashid Harun berkata suspek yang belum dikenal pasti identitinya itu ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di perairan berkenaan kira-kira pukul 2.15 pagi.

Beliau berkata ketika kejadian, pasukan peronda terserempak dengan sebuah bot berwarna biru dan mempunyai garisan merah di bahagian atas bot yang dikemudi seorang lelaki.

"Apabila cuba dihampiri, suspek terus melarikan diri dan setelah berjaya dikejar, suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis," katanya dalam sidang media di sini, Ahad.

Beliau berkata selepas insiden berbalas tembakan, pihaknya terus menghampiri bot berkenaan dan mendapati suspek terbaring berlumurah darah serta dipercayai telah meninggal dunia.

Abdul Rashid berkata hasil pemeriksaan, sepucuk pistol bersama dua kelongsong peluru dan tiga butir peluru hidup di dalam silinder dijumpai di tempat kejadian.

"Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai dan suspek dipercayai berusia 40-an," katanya.

Beliau berkata terdapat dua kesan tembakan di bahagian kiri bot yang dinaiki pasukan peronda, bagaimanapun pasukan peronda tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat suspek dihantar ke Hospital Semporna dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat empat kesan tembakan di belakang kepala dan ada kesan luka di bahagian hadapan kepala, katanya.

Beliau berkata susulan kejadian itu, pihak ESSCom melakukan operasi di beberapa buah perkampungan air di sekitar Semporna kira-kira pukul 10 pagi ini.

"Hasil daripada operasi itu, kami menahan tujuh lelaki dan dua wanita berusia 30 hingga 40 tahun. Mereka yang ditahan dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes tembakan itu," kata Abdul Rashid.

Beliau berkata pada masa sama, pihaknya sedang mengesan enam lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes jenayah rentas sempadan.

"Mereka dikenali sebagai Badong, Bocai, Wahab, Ali, Nilson dan Alex. Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai individu berkenaan diminta menghubungi pihak ESSCom di talian 089-863181 atau balai polis berhampiran," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, yang ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Deepavali MIC Sabah di Kota Kinabalu, berkata beliau telahpun diberi taklimat tentang kejadian itu oleh ESSCom.

Beliau merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan yang bertindak pantas dalam mengendalikan keadaan dan menasihati penduduk di Semporna supaya tidak panik memandangkan keadaan terkawal.

"Paling penting adalah perlu ada kerjasama dan sokongan (kepada pasukan keselamatan) daripada penduduk di kawasan berkenaan (Semporna)," katanya.

Tags / Kata Kunci: ESSCom , Semporna

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan