Pekerja Ladang Maut Ditetak 5 Lelaki

Diterbitkan: Ahad, 26 Oktober 2014 1:18 PM

(Ubah saiz teks)

PORT DICKSON: Seorang pekerja ladang maut setelah diserang sekumpulan lelaki di kawasan perumahan di Ladang Tanah Merah, dekat sini, pada Sabtu, menurut polis.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Baharudin Mustapha berkata V. Muniandy, 22, diserang lima lelaki tidak jauh dari kediamannya dalam kejadian 4.40 petang dipercayai berpunca daripada pergaduhan.

"Mangsa telah ditetak dengan objek tajam dan menyebabkan kecederaan parah di bahagian kaki dan tangan. Difahamkan mangsa tinggal bersama keluarganya di rumah tersebut, namun dia berseorangan ketika didatangi kelima-lima suspek berkenaan," katanya.

Katanya mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Port Dickson.

Baharudin berkata polis menahan dua suspek berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an kira-kira 12 pada Sabtu malam bagi membantu siasatan.

"Kita telah mendapat perintah mahkamah pagi ini (Ahad) untuk menahan reman kedua-duanya selama seminggu (sehingga 1 Nov) bagi membantu siasatan. Kita sedang mengesan tiga lagi suspek berhubung kejadian itu," katanya.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Tags / Kata Kunci: Port Dickson , Tetak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan