Kanak-Kanak Maut, Dua Lagi Parah Dalam Kemalangan di LPT

Diterbitkan: Sabtu, 25 Oktober 2014 5:51 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas kenderaan MPV dinaiki bersama enam anggota keluarga terbabas dan dilanggar sebuah treler di Km143.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat Maran pada Jumaat.

Nur Qistina Aleya Ahmad Zamani,6, dari Indera Mahkota 8, Taman Mahkota Putra yang duduk di bahagian belakang kenderaan itu maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HSAS) di Temerloh, kata Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, DSP Mohd Noor Yusof Ali.

Beliau berkata dalam kemalangan kira-kira 3.30 petang itu, abang kanak-kanak itu Ahmad Aqil Haziq, 9, cedera parah dan patah tangan kanan manakala pembantu rumah warga Indonesia keluarga berkenaan mengalami pendarahan otak.
 

"Bapa mangsa, seorang jurutera Ahmad Zamani Yusop, 39, yang memandu kenderaan tersebut dan ibunya, Nurhanum Mohd Hamdan, 39, pengusaha sebuah stesen minyak di Jalan Gambut, Kuantan serta dua lagi adik-beradiknya hanya cedera ringan," katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Katanya kemalangan berlaku apabila kenderaan MPV itu dipercayai cuba memotong sebuah lori di sebelah kiri namun gagal dan terbabas menyebabkan dilanggar treler terbabit.

Beliau berkata pemandu treler terbabit, M. Ramesh, 37, turut mengalami kecederaan ringan dan menurutnya semua yang cedera dihantar ke HSAS untuk rawatan.

Tags / Kata Kunci: kanak-kanak maut , LPT

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan