Kanak-Kanak Enam Tahun Hilang Ketika Berkelah Bersama Keluarga di Port Dickson

Diterbitkan: Sabtu, 25 Oktober 2014 11:12 PM

(Ubah saiz teks)

PORT DICKSON: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dilaporkan hilang ketika berkelah bersama keluarganya di pantai Batu 3, Jalan Pantai di sini, petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Baharudin Mustapha berkata pihaknya ada menerima aduan mengenai kejadian itu. 
 
"Bagaimana pun tidak diketahui lagi sama ada mangsa hilang di darat atau pun di laut. Pihak bomba masih lagi mencari. Oleh itu, kes berada dalam siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya kehilangan kanak-kanak berbangsa India itu disedari keluarganya ketika mereka sedang menjamu selera di pesisir pantai selepas mandi di laut pada pukul 5.30 petang.

Katanya kanak-kanak itu mempunyai ketinggian 0.9 meter dan memakai baju-t biru serta berseluar pendek hitam.
 
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mustafa Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan pukul 7.12 petang dan tiba di lokasi kejadian 20 minit kemudian. 
 
"Kita dimaklumkan kanak-kanak terbabit berkelah di tepi pantai bersama-sama keluarga yang datang dari Cheras, Selangor sebelum didapati hilang daripada pandangan pada pukul 5.30 petang," katanya ketika dihubungi.

Katanya operasi mencari dan menyelamat membabitkan tujuh anggota dan dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Port Dickson. 
 
"Sehingga 9 malam, operasi masih diteruskan. Mangsa masih belum ditemui dan sehingga kini operasi mencari dengan membuat rondaan di keseluruhan kawasan tersebut terus giat dijalankan oleh pihaknya," katanya.

Tags / Kata Kunci: kanak-kanak hilang , Port Dickson

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan