11 Warga Indonesia Dakwa Dirompak, Hanyut 25 Jam - Berita Jenayah | mStar

11 Warga Indonesia Dakwa Dirompak, Hanyut 25 Jam

Diterbitkan: Jumaat, 24 Oktober 2014 9:41 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Semua 11 warga Indonesia yang ditemui terapung selepas 25 jam hanyut di lautan mendakwa menjadi mangsa rompakan kapal tangki di Laut Sumatera.


Perkara itu diketahui sebaik mangsa yang ditemui atas rakit keselamatan oleh nelayan Vietnam itu membuat laporan polis di Balai Polis Chendering pada kira-kira pukul 3 pagi Jumaat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, bagaimanapun, semua mangsa yang ditemui terapung kira-kira 30 batu nautika dari pesisir Pantai Chendering dalam keadaan selamat dan tidak dicederakan.

"Mereka ditemui nelayan Vietnam kira-kira 30 batu nautika dari pesisir Pantai Chendering. Laporan awal yang diterima menyatakan berlaku kejadian bot karam membabitkan pelancong, bagaimanapun hanya selepas laporan polis dibuat baharu kami tahu siapa sebenarnya mereka.

"Mungkin masalah komunikasi yang menyebabkan maklumat yang diterima bercanggah. Tentunya pihak polis akan melakukan siasatan lebih lanjut berhubung dakwaan mereka yang dikatakan dirompak di Laut Sumatera," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Jumaat.

Jurucakap itu berkata, berdasarkan laporan yang dibuat, perompak mengikat semua mangsa sebelum menempatkan mereka di atas rakit keselamatan dan dihanyutkan ke laut.

Beliau berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada pukul 8.45 malam sebelum sepasukan anggota ke Pantai Chendering untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan