Kes Beng Hock: Polis Fokus Saat Akhir Sebelum Kematian

Diterbitkan: Khamis, 23 Oktober 2014 1:21 PM

Ahli keluarga mendiang Beng Hock ketika inkues kematian setiausaha politik DAP itu di Mahkamah Rayuan Putrajaya, September lalu.

(Ubah saiz teks)

CHERAS: Pasukan siasatan khas yang menyiasat semula kes kematian mendiang Teoh Beng Hock memberi fokus kepada kejadian pada saat-saat terakhir sebelum kematiannya di Plaza Masalam, Shah Alam.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis bekerjasama rapat dengan Jabatan Peguam Negara setelah kes dibuka semula berikutan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengetepikan keputusan koroner dalam inkues asal.

"Antara fokus kita dalam mengkaji semula siasatan ini adalah apa yang berlaku di Plaza Masalam itu, saat-saat terakhir sebelum mayat ditemui, siapa dia berjumpa dan dengan siapa dia bercakap.

"Kita juga akan lihat latar belakang keseluruhan kes itu, laporan penyelewengan dan salah laku yang melibatkan si mati, itu antara fokus kita," katanya pada sidang media di Pasukan Gerakan Am di sini, Khamis.

Menurut Khalid, pasukan khas yang dibentuk itu juga akan melihat semula ulasan Mahkamah Rayuan dalam membuat keputusan terhadap kes tersebut.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perkembangan siasatan semula kes Beng Hock selepas mahkamah memutuskan bahawa ia bukan disebabkan bunuh diri atau pembunuhan.

Mahkamah Rayuan pada 5 September mengenepikan keputusan terbuka oleh koroner berhubung kematian Beng Hock 5 tahun lalu, dengan memutuskan “seorang atau beberapa orang bertanggungjawab atas kematiannya”. 

Beng Hock yang ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam adalah pembantu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah (DAP).

Beliau sebelum itu dipanggil SPRM merekodkan keterangan atas dakwaan salah guna dana awam ke atas majikannya.

Tags / Kata Kunci: Teoh Beng Hock , siasatan semula

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan