Polis Sarawak Tingkat Serbuan Banteras Pembelian Barang Curi - Berita Jenayah | mStar

Polis Sarawak Tingkat Serbuan Banteras Pembelian Barang Curi

Diterbitkan: Rabu, 22 Oktober 2014 8:40 PM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Polis Sarawak akan meningkatkan serbuan dipremis yang disyaki membeli barang curi khususnya barang milik syarikat telekomunikasi, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman.

"Serbuan di bawah Ops Lusuh ini akan dilakukan bersama-sama agensi berkuasa lain," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, beliau berkata polis menahan dua suspek dalam serbuan di dua premis yang didapati membeli barang lusuh di Batu 12 1/2 Jalan Kuching-Serian dan Batu 11 Jalan Kuching-Serian pada Isnin lalu.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis merampas 212 unit bateri pelbagai jenama, 10 karung guni kabel tembaga dan 17 gelung besar kabel aluminium.

Kedua-dua suspek akan dituduh mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atau Seksyen 411 kanun sama kerana membeli barang-barang lusuh yang dipercayai dicuri, kata Muhammad Sabtu.

Sabit kesalahan mengikut Seksyen 379 memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya manakala Seksyen 411 memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tags / Kata Kunci: polis , barang curi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan