Dua Lelaki Ditahan Miliki Senjata Buatan Sendiri

Diterbitkan: Sabtu, 18 Oktober 2014 7:52 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Polis menahan dua lelaki yang menyimpan senapang buatan sendiri dalam dua serbuan berasingan di sini dan Kulim pada Khamis.  

Dalam kes pertama, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menahan seorang lelaki berusia 45 tahun di rumahnya di Kampung Permatang Ibus, Mukim Kangkong dekat sini kira-kira10 pagi kerana terlibat dengan penagihan dadah.

Dalam serbuan itu, polis menemui selaras senapang angin buatan sendiri bersama 25 biji bebola besi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ASP Adzaman Mohd Jan berkata lelaki itu mengaku membuat sendiri senapang angin itu untuk menembak tupai di kawasan rumahnya sejak dua tahun lalu.

"Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada senjata itu pernah digunakan dalam kegiatan jenayah.

Semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,"katanya.

Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah.

"Lelaki itu ditahan reman selama empat hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960," katanya.

Dalam serbuan kedua di Kampung Gunung Bongsu, Mahang dekat Kulim, seorang penganggur berusia 48 tahun ditahan di sebuah pondok yang dipercayai dijadikan tempat memproses air ketum.

Jurucakap polis berkata dalam serbuan pukul 11.15 pagi itu, polis menemui selaras senapang patah jenis Round 12 Bore buatan sendiri dan 10 butir peluru penabur jenis Round 12 Bore.

Katanya lelaki itu mengaku membuat sendiri senapang patah bagi menghalau binatang liar yang merosakkan tanaman.

"Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah," katanya.

Dalam serbuan itu, polis merampas 100 bungkus plastik berisi air ketumsebanyak 30,000 mililiter dan 13 kg daun ketum.

Tags / Kata Kunci: senjata buatan sendiri

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan