Pereka Grafik Maut, Rakan Cedera Kereta Rempuh Treler

Diterbitkan: Sabtu, 18 Oktober 2014 5:45 PM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Hasrat seorang pereka grafik sebuah syarikat di ibu negara menghadiri majlis alumni institusi pengajian tingginya di Pulau Pinang tidak kesampaian apabila kereta yang dipandu rakannya merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 294.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara berhampiran Gopeng di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.45 tengah malam itu, Nabil Affandi Johar, 27, dari Batu Caves, Selangor cederaan parah dan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun manakala rakannya yang juga Pegawai Kanan Integriti Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Muhammad Husaini Ahmad Mazlan, 28, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata kereta yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian kanan belakang treler yang membawa muatan baja Urea.
 
"Polis tidak menolak kemungkinan kereta dipandu Muhammad Husaini hilang kawalan ekoran keadaan gelap dan jalan basah," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata pemandu lori berkenaan tidak cedera.

Di BUTTERWORTH, seorang pelajar kolej maut dalam kemalangan langgar lari di Kilometer 130.5 PLUS arah Utara berhampiran persimpangan Sungai Dua di sini, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata dalam kejadian 11.30 pagi itu, Muhammad Adham Mohamad Asmadi, 18, menunggang motosikal ke rumahnya di Kampung Tok Bedu, Tasek Gelugor dekat sini.

Mangsa mati di tempat kejadian selepas dirempuh oleh kenderaan yang belum dikenal pasti.
 

"Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang remaja lelaki itu hilang kawalan setibanya di tempat kejadian sebelum dirempuh oleh sebuah kenderaan. Bagaimanapun kenderaan itu terus meninggalkan tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini, Sabtu.


Abdul Rahman berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat.

Beliau meminta kerjasama orang ramai atau saksi yang melihat kemalangan itu supaya menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Tags / Kata Kunci: rempuh treler , pereka grafik

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan