Ahli Kongsi Gelap Ditahan Bantu Kes Tembak

Diterbitkan: Khamis, 16 Oktober 2014 3:07 PM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki disyaki anggota kumpulan kongsi gelap ditahan bagi membantu siasatan kes seorang pekerja kilang ditembak di Jalan Perusahaan Sungai Lokan, Butterworth dekat sini, 8 Okt lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan di Butterworth, Selasa lepas.

"Usaha mengesan beberapa lagi anggota kumpulan kongsi gelap itu giat dijalankan," katanya kepada pemberita selepas program High Profile Policing di Machang Bubuk, di sini, Khamis.

Dalam kejadian pada 8.55 pagi itu, seorang lelaki berusia 35 tahun yang mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan samun dan bunuh cedera ditembak dan polis percaya punca kejadian membabitkan dendam antara dua kumpulan kongsi gelap.

Mazlan berkata mangsa masih dirawat di Hospital Seberang Jaya dan polis telah mengambil keterangannya bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata polis sedang mengesan warga Myanmar bagi membantu siasatan kes seorang lelaki Myanmar, Htoo Aung, 30, yang ditemui mati dengan beberapa kesan kelar dan tikaman di badan di Taman Impian Ria, Machang Bubuk di sini, pada 12.45 tengah malam Rabu.

Beliau berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu, empat lelaki berusia 30-an menyerang dan memukul mangsa hingga mati di kaki lima kawasan kedai tiga tingkat berkenaan sebelum meninggalkannya di situ dan kejadian itu dipercayai bermotifkan dendam.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan menyalurkan maklumat kepada Polis Antarabangsa (Interpol) Bukit Aman bagi mengesan suspek rakyat asing yang terlibat dalam kejadian bunuh di Pulau Pinang.

"Dalam tempoh Januari hingga semalam, 41 kes bunuh direkodkan dan daripada jumlah itu sebanyak 26 kes membabitkan warga asing...kami akan berhubung dengan Interpol Bukit Aman untuk salurkan maklumat bagi bantu polis di Pulau Pinang," katanya.


Tags / Kata Kunci: Tembak , Kongsi Gelap

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan