Penjual VCD Maut Kena Sembilan Tikaman - Berita Jenayah | mStar

Penjual VCD Maut Kena Sembilan Tikaman

Diterbitkan: Rabu, 8 Oktober 2014 12:31 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Seorang peniaga cakera padat maut akibat ditikam sembilan kali di hadapan sebuah restoran di Jalan Haji Ahmad 6 dekat sini tengah malam Selasa.


Mangsa Thong Kong Wai, 39, berasal dari Tapah, Perak mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, mangsa pergi ke restoran itu bersama dua rakannya.

"Selesai makan, mereka menuju ke kereta yang diletakkan lebih kurang 20 meter dari restoran itu sebelum tiba-tiba seorang lelaki menyerang mangsa dari arah belakang.

"Suspek menikam mangsa beberapa kali di dada dan badan sebelum melarikan diri," katanya ketika dihubungi.

Sharifuddin berkata, rakan mangsa kemudiannya menghubungi pihak polis dan meminta bantuan hospital.

Sebaik ambulans sampai, mangsa disahkan telah meninggal.

Beliau berkata, pemeriksaan fizikal mendapati terdapat sembilan kesan tikaman pada mangsa.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk dibedah siasat.

Tags / Kata Kunci: vcd , tikam , Tapah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan