Lelaki Cedera Ditembak Ketika Cuba Larikan Diri - Berita Jenayah | mStar

Lelaki Cedera Ditembak Ketika Cuba Larikan Diri

Diterbitkan: Rabu, 8 Oktober 2014 6:29 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang disyaki cuba mencuri sebuah kenderaan pacuan empat roda, cedera ditembak apabila cuba melarikan diri bersama dua lagi rakannya, selepas dikepung polis di SS7/17, Kelana Jaya, Rabu. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Azmi Abu Kassim berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, sepasukan polis diarah ke lokasi kejadian selepas mendapat maklumat daripada penghuni kondominium berhampiran yang ternampak beberapa lelaki dilihat cuba mengumpil kenderaan itu.

"Dua unit MPV polis cuba mengepung suspek dari arah depan dan belakang, menyedari kehadiran polis, kesemua suspek berusia lingkungan 30 tahun cuba melarikan diri menggunakan kereta jenis Proton Wira Aeroback hitam.

"Suspek mengundurkan kenderaan mereka dan telah melanggar sebuah kereta polis di belakang, kemudian suspek bergerak ke depan dan telah melanggar sebuah lagi kereta polis," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Azmi berkata polis telah melepaskan tembakan ke arah kereta suspek dan satu das tembakan telah mengenai peha kiri seorang suspek di tempat duduk penumpang belakang.

"Seorang suspek telah ditangkap ketika cuba lari ke kawasan semak berhampiran manakala seorang lagi berjaya melarikan diri...kenderaan yang digunakan mereka itu juga disyaki kereta curi berikutan kesan umpil ditemui di bahagian 'dashboard'," katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek yang cedera itu mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan kes samun.

"Tiada anggota polis yang cedera dan hanya kereta peronda terbabit yang rosak di bahagian depan akibat dilanggar suspek, manakala suspek yang cedera telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk menerima rawatan," katanya.

Beliau berkata polis kini sedang memburu suspek yang melepaskan diri itu dan kes disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Tags / Kata Kunci: curi kenderaan , tembak , ACP Azmi Abu Kassim
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan