SPRM Tahan Seorang Lagi Kes Seludup Keluar Barang Dari PKFZ

Diterbitkan: Ahad, 28 September 2014 9:20 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang individu yang disyaki bersuhabat dengan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam menerima wang rasuah daripada sindiket penyeludupan arak yang tidak dibayar cukai eksais, telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Beliau berkata individu itu kini direman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

"Perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini dikeluarkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Jamidan berkata lelaki itu merupakan orang awam ke-31 ditahan SPRM dalam operasi besar-besaran sejak 3 September lepas.

Sehingga Khamis lalu, 12 pegawai Kastam telah didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Shah Alam, Kuala Lumpur dan Ipoh secara berperingkat.

Kenyataan itu berkata 16 pegawai Kastam masih ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan kes penyeludupan barang-barang yang lari daripada pembayaran duti kastam.

Penahanan semua individu itu adalah hasil pemantauan lebih setahun di kawasan Zon Perdagangan Bebas Cukai di Pelabuhan Klang (PKFZ).

Tags / Kata Kunci: SPRM , PKFZ , Kastam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan