Polis Marin Gagalkan Cubaan Seludup 21,600 Liter Minyak - Berita Jenayah | mStar

Polis Marin Gagalkan Cubaan Seludup 21,600 Liter Minyak

Diterbitkan: Sabtu, 27 September 2014 1:21 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menggagalkan kegiatan menyeludup sebanyak 21,600 liter minyak berikutan penahanan sebuah lori tangki dan sebuah bot tunda di Kampung Pendas, Gelang Patah, Jumaat.

Komandernya, ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata, lori dan bot yang sedang melakukan pemindahan minyak itu ditahan dalam serbuan di sebuah jeti persendirian pada 2.10 pagi.

"Bertindak atas maklumat, bot ronda RH6 PPM Wilayah Dua membuat serbuan di jeti tersebut dan mendapati terdapat sebuah lori tangki yang sedang memindahkan minyak jenis 'tyre oil' ke sebuah bot tunda," katanya dalam kenyataan, di sini Sabtu.

Khiu berkata, hasil pemeriksaan mendapati kapten bot itu gagal menunjukkan dokumen kelulusan berkaitan pemindahan minyak tersebut dan bot berkenaan juga berlayar tanpa kelulusan pelabuhan.

Beliau berkata, jeti persendirian berkenaan pula dipercayai jeti yang tidak diwartakan dan tidak mempunyai kebenaran menjalankan aktiviti pemindahan minyak.

Katanya, siasatan mendapati lori tangki tersebut membawa sebanyak 21,600 liter minyak jenis 'tyre oil' yang sebahagiannya telah dipindahkan ke dalam bot tunda.

"Enam kru bot tunda yang kesemuanya rakyat Indonesia, pemandu lori tangki dan dua lelaki yang dipercayai penjaga jeti berkenaan turut diperiksa," katanya.

Menurutnya kesemua tahanan berserta barang rampasan yang dianggar bernilai RM1.34 juta termasuk lori dan bot dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua di Tampoi untuk siasatan lanjut.

Tags / Kata Kunci: Pasukan Polis Marin , seludup minyak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan