Maritim Malaysia Berkas Enam Warga Thai Usaha Bot Nelayan

Diterbitkan: Selasa, 23 September 2014 6:21 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

KUALA PERLIS: Lima awak-awak dan seorang tekong sebuah bot ikan warga Thailand ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Maritim Utara di perairan Kuala Perlis, Isnin.

Ketua Penguat Kuasa Pangkalan Maritim Kuala Perlis Leftenan Komander Maritim Shahrizan Raman berkata warga Thailand berumur 19 hingga 50 tahun itu ditahan kerana tidak memiliki permit sah untuk bekerja di atas bot berkenaan.

Beliau berkata bot Maritim Malaysia yang membuat rondaan rutin di perairan Perlis ternampak sebuah bot pukat hanyut kelas A datang dari perairan Thailand memasuki perairan Malaysia (Kuala Perlis) kira-kira 1.30 tengah hari sebelum memintas dan menahannya.

"Pemeriksaan mendapati bot itu milik rakyat Malaysia manakala warga Thailand itu tidak memiliki permit sah untuk bekerja di atas bot tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Menurutnya penahanan dibuat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menggaji pekerja asing tanpa permit sah dan bot tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya.

Bot tersebut dibawa ke Pangkalan Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut, katanya.

Beliau berharap orang ramai terus memberi kerjasama dengan melaporkan segera sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim. Aduan dibuat ke Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Perlis (04-9851072) atau (04-9851162).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan