Penahanan 22 Pegawai Kastam Tak Seharusnya Ganggu Tugas - KP Kastam

Diterbitkan: Ahad, 7 September 2014 2:37 PM

Khazali Ahmad

(Ubah saiz teks)

KAJANG: Pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia dinasihatkan supaya tidak menyebabkan penahanan 12 rakan setugas mereka mengganggu tugas yang diamanahkan.


Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, semua pegawainya sudah dimaklumkan supaya melaksanakan tugas dengan berkesan.

"Saya sudah maklumkan semua kakitangan dan pegawai supaya tidak menganggap kejadian itu sesuatu yang bersifat peribadi, sebaliknya mereka perlu terus bekerja dan menghasilkan mutu kerja yang baik," katanya selepas melancarkan pameran bergerak GST di sini, Ahad.

Khazali berkata, susulan penahanan itu juga, pihaknya sedang meneliti prosedur operasi jabatan itu, termasuk fungsi pengarah negeri.

"Kami akan mengkaji dan melaksanakan beberapa perubahan. Saya sedang berbincang mengenai tindakan yang perlu dilakukan dengan pengarah di Selangor dan ibu pejabat," katanya.

Beliau juga memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus melaksanakan tugas secara profesional.

"Jangan bimbang, kami akan terus bekerja dengan integriti dan bertanggungjawab. Jabatan memberi jaminan akan menyediakan perkhidmatan berkesan kepada masyarakat," katanya.

Beliau menambah, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta agensi lain dalam menjalankan siasatan berhubung kes mengelak cukai terbabit.

Dalam operasi besar-besar yang diketuai SPRM baru-baru ini, 24 orang ditahan, termasuk 12 pegawai Kastam di lokasi berbeza sekitar Lembah Klang kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan rokok dan arak.

Tags / Kata Kunci: Kastam , SPRM , sindiket penyeludupan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan