Geng Curi Toyota Hilux Diberkas - Berita Jenayah | mStar

Geng Curi Toyota Hilux Diberkas

Diterbitkan: Sabtu, 6 September 2014 1:43 PM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes menyamun dan mencuri kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di beberapa negeri termasuk Melaka akhirnya diberkas di Kuala Lumpur.

Mereka yang berusia antara 21 hingga 35 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Kontinjen Melaka dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Cherasmenerusi Ops Hilux di Kuala Lumpur pada Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki di Flat Sri Sabah, Cheras, Kuala Lumpur, diikuti tiga lagi anggota kumpulan itu di Flat Sri Johor.

"Kumpulan ini terlibat dalam lima kes samun dan mencuri Toyota Hilux di Melaka sejak Februari lepas dengan anggaran kerugian kira-kira RM500,000.

"Mereka juga aktif di Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Raja Shahrom berkata kes samun terbaharu melibatkan seorang pemilik berusia 34 tahun di sebuah stesen minyak di Alor Gajah pada 19 Ogos lepas.

Beliau berkata mangsa yang sedang mengisi minyak kenderaannya didatangi dua lelaki bersenjatakan parang sebelum bertindak melarikan kenderaan itu selain rantai emas, telefon bimbit dan wang tunai milik mangsa.

Keempat-empat suspek terbabit kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 3 Sept lepas bagi membantu siasatan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata.

Empat lagi anggota kumpulan itu sedang dikesan selain kenderaan yang telah dicuri dan dipercayai telah dijual.

Tags / Kata Kunci: Melaka , Hilux
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan