Isu PPS: Polis Siasat Wartawan Portal Berita

Diterbitkan: Rabu, 3 September 2014 3:03 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang wartawan sebuah portal berita berikutan laporan polis daripada pelbagai pihak mendakwa berita yang ditulis berbaur fitnah dan hasutan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata sehingga malam tadi, sembilan laporan polis diterima berkaitan artikel bertajuk 'Disoal siasat selama 4 jam, dakwa dilayan seperti penjenayah' yang disiarkan dalam portal itu pada Isnin.

"Berikutan laporan polis yang dibuat oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini, polis membuat kertas siasatan menurut Seksyen 41c Akta Hasutan 1948 kerana laporan yang disiarkan itu dikatakan boleh menggugat keharmonian masyarakat di negara ini.

"Polis akan memanggil wartawan wanita berkenaan untuk merekodkan keterangannya untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, Rabu.

Artikel berkenaan menyiarkan temu bual wartawan berkenaan dengan Pengerusi Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Phee Boon Poh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri pada pukul 1.30 pagi ketika Phee masih dalam tahanan polis.

Ahad lepas, polis menahan 156 anggota PPS termasuk Phee kerana ingkar amaran untuk tidak menjalankan sebarang aktiviti selepas pasukan itu didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri sedia memberi bantuan perundangan kepada wartawan berkenaan untuk memastikan amalan kebebasan bersuara dilindungi.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata pihaknya telah menghantar rakaman CCTV di kediaman Lim kepada pasukan forensik khas di Bukit Aman untuk mengenal pasti suspek yang membaling bom petrol di kawasan kediaman itu malam Sabtu lepas.

"Pasukan forensik di sini (IPK Pulau Pinang) telah meneliti rakaman berkenaan tetapi kami gagal mengenal pasti suspek dan nombor pendaftaran motosikal yang dinaiki lelaki itu...oleh itu (rakaman CCTV) diserah kepada pasukan forensik di Bukit Aman," katanya sambil menegaskan bahawa siasatan kes itu masih berjalan.

Dalam kejadian 11.48 malam itu, seorang suspek membaling bom petrol ke arah tempat letak kereta di kediaman Lim sebelum ia meletup dan terbakar.
Tags / Kata Kunci: Akta Hasutan 1948

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan