Polis Sepang Tumpas Tiga Kes Samun Dan Curi Kereta Sepanjang Ogos

Diterbitkan: Isnin, 25 Ogos 2014 4:50 PM

Sindiket curi kereta. Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Polis Sepang menumpaskan tiga geng samun dan curi kenderaan serta menahan 18 suspek termasuk dua wanita sepanjang Ogos ini, kata Ketua Polis Daerah Sepang,  Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Yusof Awang.

Beliau berkata ketiga-tiga geng itu bukan hanya melakukan kegiatan jenayah di daerah Sepang malah di kawasan berhampiran seperti Putrajaya, Kuala Langat, Kuala Lumpur, Klang serta Port Dickson, Negeri Sembilan.

Geng pertama dikenali sebagai 'Boy Hotel' terdiri daripada empat lelaki berumur antara 25 hingga 41 diberkas di sebuah hotel bajet di Dengkil pada 8 Ogos lepas kira-kira pukul 11 pagi, katanya.

"Mereka digelarkan 'Boy Hotel' kerana mereka akan menyewa di sesebuah hotel bajet untuk satu masa jika hendak melakukan samun atau pecah rumah di kawasan itu," katanya dalam sidang media di pejabatnya pada Isnin.

Beliau berkata semasa serbuan kesemua suspek sedang berehat dan polis merampas beberapa barang yang digunakan untuk menyamun dan memecah rumah serta beberapa barangan hasil samun.

Katanya dengan tertangkapnya semua suspek yang turut positif dadah itu, beliau percaya polis telah menyelesaikan enam kes di Sepang, dua di Nilai dan satu kes masing-masing di Kuala Langat dan Putrajaya.

Tangkapan kedua ke atas Geng 'Palani' diambil sempena nama bengkel yang menjadi tempat kereta curi ditukar nombor casis enjin di Dengkil, polis menahan tujuh suspek termasuk seorang wanita berumur antara 28 sehingga 40 tahun dalam dua serbuan berasingan di Dengkil.

"Pada 15 Ogos kira-kira 11.30 malam polis menahan dua suspek termasuk seorang wanita di sebuah restoran di Dengkil dan menemui serangkai kunci kereta dan sebuah kereta Perodua Viva.

Serbuan kedua empat hari selepasnya kira-kira pukul 4 petang, lima lelaki ditahan di bengkel tersebut dan polis merampas tiga buah kereta iaitu dua buah Proton Waja di mana sebuah darinya dilaporkan hilang di Lembah Pantai, KualaLumpur dan sebuah Perodua Myvi," katanya.

Mengenai kes ketiga, beliau berkata tujuh suspek termasuk seorang wanita berumur antara 24 hingga 30 tahun dari geng 'Lembu Pachitan' di tahan pada tiga serbuan berasingan pada 12, 14 serta 18 Ogos masing-masing di Sungai Nipah Port Dickson, Kampung Pachitan Port Dickson dan di Klang.

Mohd Yusof berkata mereka melakukan kegiatan mencuri kenderaan dan polis turut merampas lima buah kereta iaitu Proton Satria, Naza Citra, Proton Wira serta dua buah Proton Waja dipercayai dicuri.

Tags / Kata Kunci: Boy Hotel , Geng Palani , Lembu Pachitan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan