400 Kakitangan Kastam Terlibat Ops Pacak Banteras Rokok Haram

Diterbitkan: Rabu, 20 Ogos 2014 1:39 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seramai 400 kakitangan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja kini terlibat dalam operasi membanteras penyeludupan rokok haram di kawasan panas yang dikenalpasti di seluruh negara, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad.

Tambah beliau, operasi khas itu yang dinamakan 'Ops Pacak' telah dilancarkan Khamis lalu di seluruh negara di kawasan-kawasan yang dikenalpasti sebagai kawasan panas pengedaran, jualan dan penyeludupan.

“Buat masa ini, pihak Kastam telah mengenalpasti 35% daripada rokok yang dijual di negara kita adalah rokok kontraban atau barangan gelap dan sasaran kita ialah untuk mengurangkannya kepada 30%,” ujar beliau.

Operasi ini, menurut beliau lagi akan berlangsung selama sebulan bermula di kawasan popular iaitu Chow Kit dan Kampung Baru di sini.

“Kami juga telah mengenalpasti Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak sebagai negeri-negeri yang paling tinggi dengan penjual rokok kontraban,” katanya.

Jelas Khazali, Ops Pacak ini adalah susulan kepada kejayaan operasi sebelum ini iaitu Ops Outlet, yang menyaksikan pihak Kastam menyerbu 8,320 outlet menjual rokok haram dan merampas rokok dengan nilai jualan RM11.72 juta dan nilai duti berjumlah RM97.06 juta.

Operasi itu berlangsung antara Januari hingga 12 Ogos.

Khazali turut mendedahkan yang mereka telah menahan 923 orang sepanjang operasi Ops Outlet dengan 242 orang daripada mereka telah pun didakwa manakala 37 lagi dipenjarakan.

“Ops Outlet telah berjaya mengurangkan permintaan ke atas rokok haram sebanyak 3.1%, yang bersamaan dengan 200 juta batang rokok,” kata Khazali lagi.

Menurutnya, rokok haram yang diseludup ini telah menjejaskan kutipan cukai sehingga RM1.9 bilion.

Khazali juga memaklumkan walaupun operasi pihak kastam lebih tertumpu kepada penyeludup dan penjual tetapi mereka yang ditangkap membelinya juga berhadapan dengan risiko didakwa.

Di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, mereka yang ditahan menjual barangan kontraban berhadapan dengan hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda sehingga 20 kali ganda daripada nilai barangan yang dirampas atau kedua-duanya sekali.

Sesiapa yang memiliki maklumat mengenai penjualan atau aktiviti rokok haram atau kontraban boleh menghubungi talian berikut;
1-800-888-855.
Tags / Kata Kunci: Kastam , Rokok

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan