Kemalangan: Guru Kafa Dan Isteri Maut, Anak Perempuan Cedera

Diterbitkan: Rabu, 13 Ogos 2014 8:51 PM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) dan isterinya maut, manakala anak perempuan mereka berusia 13 tahun cedera dalam kemalangan di Seri Iskandar dekat sini, Selasa.

Dalam kejadian 12.15 tengah malam di KM30 Jalan Ipoh-Lumut, berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Maju itu, Hazli Hassan, 52, dan isteri Zalina Mahmood, 50, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supritendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, keluarga itu dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Taman Sri Indah, Ayer Tawar selepas menghadiri majlis pengebumian bapa Hazli di Behrang.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta jenis Perodua Alza yang dipandu mangsa melanggar bahagian belakang kenderaan jenis Porsche Cayenne yang berhenti di lampu isyarat," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Akibat rempuhan itu, pasangan suami isteri tersebut mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kenderaan Porche tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat sementara anak mereka menerima rawatan di hospital sama.

Mohamad Fakri berkata, ketika kejadian cuaca baik dan laluan di situ adalah jalan lurus dengan tiga lorong serta berhampiran lampu isyarat.

Tags / Kata Kunci: Kafa , Taman Maju , Behrang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan