Pelajar Tingkatan Lima Disiasat Mengikut Akta Hasutan

Diterbitkan: Rabu, 13 Ogos 2014 6:12 PM

(Ubah saiz teks)

NIBONG TEBAL: Seorang pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah menengah di sini disiasat mengikut Akta Hasutan berikutan tindakannya menekan butang 'Like' I Love Israel di laman sosial Facebook yang mencetuskan kontroversi di kalangan warga sekolah itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, setakat ini polis telah merekod keterangan lima orang, termasuk guru pelajar berusia 17 tahun itu.

"Semalam kami ambil keterangan pelajar berkenaan dan hari ini (Rabu) kami ambil keterangan tiga lagi rakannya berusia 17 tahun dan seorang guru berusia 40-an bagi membantu siasatan kes itu," katanya ketika dihubungi, di sini, Rabu.

Beliau berkata, tindakan pelajar berkenaan menekan butang 'Like' itu menarik banyak komen antaranya daripada guru sekolah itu yang meluahkan rasa kecewa dan terdapat juga komen yang mengecam dan mencadangkan agar pelajar itu dibakar.

Shafien berkata, keadaan itu menyebabkan pelajar berkenaan berasa bimbang untuk ke sekolah berikutan menerima kecaman daripada guru dan rakan-rakan sekolahnya selepas tindakannya itu.

Beliau berkata, pelajar berkenaan yang berasa bimbang dengan keselamatannya membuat laporan polis di Balai Polis Tasek Mutiara dan menutup akaun Facebook miliknya.

Shafien berkata, pelajar lelaki itu mendakwa tindakan menekan butang 'Like' itu dilakukan secara tidak sengaja.

"Siasatan terbahagi kepada dua aspek iaitu mengapa pelajar itu menyokong laman berkenaan yang mencetuskan perbalahan dan berhubung ancaman yang diterimanya," katanya.


Tags / Kata Kunci: Facebook , Nibong Tebal , I Love Israel

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan