Salah Guna Laman Sosial: Polis Pakai Akta Hasutan

Diterbitkan: Isnin, 11 Ogos 2014 3:55 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mempertimbangkan untuk mengguna pakai Akta Hasutan 1948 terhadap mereka yang menimbulkan isu perkauman dan agama menerusi media sosial.


Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Zinin berkata, ia bukan satu tugas yang mudah untuk menahan dan mendakwa mereka yang melakukan kesalahan tersebut kerana internet itu luas dan tanpa sempadan. 

"Tolong jangan menghasut apa-apa yang boleh menyinggung sensitiviti mana-mana kaum. 

"Ini boleh menjejaskan ketenteraman awam dan perkara terakhir yang kita mahu. 

"Kami akan melakukan segala-galanya dalam kuasa kami untuk membawa individu yang tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan," katanya selepas Majlis Anugerah Pemandu Berhemah Sempena Ops Selamat 5 di Terminal Bersepadu Selatan, Isnin.

Terkini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang bekerjasama dengan polis sedang menyiasat kes penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah oleh seorang individu di laman Facebook. 

Ketika ini, siasatan dijalankan ke atas pemilik akaun Facebook bernama 'Chandra Lawan Tetap Lawan' bagi memastikan mereka yang terlibat dikenakan tindakan tegas.

Individu tidak bertanggungjawab itu dilaporkan menghina Tuanku Abdul Halim dengan memuat naik gambar kemalangan ngeri dengan suntingan wajah baginda di laman Facebook.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan