Perintah Berkurung Di ESSZone Dilanjutkan

Diterbitkan: Ahad, 3 Ogos 2014 12:49 PM

(Ubah saiz teks)

LAHAD DATU: Komander Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Abdul Rashid Harun mengumumkan lanjutan tempoh perintah berkurung di enam daerah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSzone) yang dikenakan sebelum ini yang berakhir pada Sabtu.

Beliau berkata ia bermula pukul 6 petang hingga 6 pagi berkuat kuasa hari ini sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Ia merangkumi daerah Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Sehubungan itu beliau menyeru agar semua pihak dapat memberi kerjasama sepanjang perintah berkurung itu bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

"Saya telah berbincang dengan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengenai keselamatan di ESSZone dan sehubungan itu di bawah kuasa-kuasa yang diberi kepada beliau (Jalaluddin) dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi oleh Akta Polis 1967, perintah berkurung akan disambung dengan mengambil kira perkembangan terkini situasi keselamatan di ESSZone," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat ESSCom di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Komander ESSCom, Brig Jen Subari Tomo dan Pengarah Maritim ESSCom, Laksamana Pertama Maritim, M. Karunanithi.

Mengenai pematuhan perintah berkurung terdahulu, Abdul Rashid berkata secara keseluruhan pihaknya berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan anggota masyarakat terutama golongan nelayan.

Namun beliau berkata sepanjang tempoh 14 hari perintah berkurung itu, ESSCom menahan 46 nelayan berusia antara 19 dan 50 tahun serta 11 buah bot dalam lapan kes berasingan kerana didapati melanggar arahan.

Katanya tiga daripada kes tersebut akan didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 31 (2) Akta Polis 1967 yang suspek boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata 37 permit dikeluarkan kepada nelayan di Sandakan dan tiga di Tawau untuk membenarkan mereka keluar menangkap ikan dalam tempoh perintah berkurung sebelum ini.


Tags / Kata Kunci: ESSZone

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan