Wanita Kemboja Maut Dalam Nahas Selepas Beraya

Diterbitkan: Selasa, 29 Julai 2014 6:45 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang wanita Kemboja yang baru pulang berhari raya di Rembau, Negeri Sembilan maut selepas van dinaiki bersama lima anggota keluarganya terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 10.7 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), di sini, petang semalam.

Mereka sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Tanjung Malim, Perak setelah beraya di Rembau.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, Jamilah Ali, 44, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan beberapa bahagian badan lain.

Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, van jenis Nissan yang dipandu anak lelaki Jamilah berusia 20 tahun dikatakan mahu mengelak sebuah kereta yang memotong secara mengejut.

"Ekoran tindakan pemandu kereta berkenaan, anak lelaki mangsa terkejut dan cuba untuk mengelak menyebabkan van yang dinaiki mereka terbabas di sebelah kiri jalan.

"Selepas cuba mengelak dan terbabas, van berkenaan kemudiannya berpusing beberapa kali di tengah lebuh raya. Kesan daripada kemalangan itu menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian tengah penumpang maut kerana mengalami kecederaan parah," katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun beliau berkata lima lagi anggota keluarga mangsa berjaya keluar daripada kenderaan yang dinaiki mereka dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Jenazah Jamilah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat.

 

Tags / Kata Kunci: Kemboja , Rembau , kemalangan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan