Tabung Gaza: Polis Pantau Aktiviti Minta Derma Tanpa Permit

Diterbitkan: Jumaat, 25 Julai 2014 2:43 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau kegiatan individu atau pertubuhan yang meminta derma untuk tabung kemanusiaan tanpa permit.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata sebarang kegiatan untuk mengutip derma untuk sesuatu kempen kemanusiaan perlu memohon dan mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Adalah salah jika mereka yang tidak memohon dan tidak mempunyai permit untuk menjalankan aktiviti itu kepada orang awam. Mereka boleh ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan terdapat sindiket yang cuba mengaut untung dengan mengutip derma tabung kemanusiaan untuk Palestin/Gaza.

Sementara itu, penganalisis jenayah Kamal Affendi berkata orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dalam memberi derma kepada pusat derma bergerak di sekitar ibu kota.

"Ini dikhuatiri pusat derma bergerak itu hanya menggunakan gambar mangsa Palestin untuk mendapat simpati sebaliknya ia digunakan untuk mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan.

"Sebelum menderma seeloknya minta mereka tunjukkan permit kebenaran yang dikeluarkan polis terlebih dahulu dan barulah menderma," katanya ketika dihubungi.

Kamal menyarankan orang ramai menderma kepada tabung kemanusiaan yang dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Amal Palestin.

"Ini kerana mereka mempunyai permit kebenaran serta terjamin dari segi pengurusan," katanya.
Tags / Kata Kunci: Tabung Gaza , Palestin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan