EssCom Tahan 69 Nelayan, 11 Bot Hari Kedua Perintah Berkurung

Diterbitkan: Isnin, 21 Julai 2014 8:31 PM

(Ubah saiz teks)

LAHAD DATU: Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (EssCom) menahan 69 nelayan termasuk 10 wanita dan 11 bot di sekitar perairan Sandakan, Lahad Datu dan Semporna kerana melanggar perintah berkurung pada hari kedua pelaksanaan perintah itu.

Komander ESSCom, Datuk Abdul Rashid Harun berkata tujuh daripada 11 bot itu ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) manakala selebihnya oleh Pasukan Polis Marin.

"Kita tahan mereka (nelayan) kerana berada di kawasan larangan semasa perintah berkurung dikuatkuasakan dari 6 petang semalam hingga 6 pagi tadi.

"Majoriti yang ditahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Sehubungan itu, Abdul Rashid mengingatkan orang ramai agar mematuhi perintah berkurung yang bertujuan membendung jenayah rentas sempadan, terutama aktiviti penculikan dan penyeludupan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Sabtu lepas, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengisytiharkan perintah berkurung di kawasan perairan pantai timur Sabah bermula dari Tanjung Pundaras, Sandakan hingga ke Jeti Tawau berkuat kuasa petang 19 Julai hingga 2 Ogos ini.

Jalaluddin berkata kawasan perintah berkurung bermula selepas tiga batu nautika dari pantai sepanjang perairan dari Sandakan melalui daerah Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna hingga ke Jeti Tawau sejauh 362 batu nautika meliputi kawasan seluas 121, 270 batu nautika persegi.

Mana-mana pihak yang melanggar peraturan perintah berkurung boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Jalaluddin berkata apabila terdapat suspek yang disyaki telah melakukan penculikan ataupun pembunuhan yang hukumannya adalah gantung sampai mati atau penjara seumur berada di kawasan perintah berkurung, maka anggota keselamatan boleh melepaskan tembakan ke sasaran berkenaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan