Mayat Reput Ditemui Di Bawah Jambatan

Diterbitkan: Khamis, 17 Julai 2014 8:56 PM

(Ubah saiz teks)

BALING: Mayat seorang lelaki yang telah reput ditemui di bawah jambatan di Kampung Luar, Mukim Siong di sini bersama seguni pucuk paku, Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Baling DSP Wari Kiew berkata mayat mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Tarmizi Desa, 31, ditemui hanya tinggal beberapa kerat tulang tangan dan kaki itu oleh seorang pemancing pada pukul 4.30 petang.

Beliau berkata pemancing itu yang melalui kawasan berkenaan terhidu bau busuk dan menyiasatnya sehinggga terjumpa mayat yang telah reput, sebelum membuat laporan polis di Pondok Polis Pekan Kampung Lalang. 

"Mangsa mungkin meninggal dunia seminggu lalu berpandukan keadaan mayat yang telah reput dengan keadaan hanya tinggal beberapa ketul tulang tangan dan kaki serta tengkorak kepala," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Katanya seguni pucuk paku yang ditemui bersama mayat mungkin dikutip mangsa untuk dijual di pekan Kampung Lalang.

Katanya mangsa pernah ditahan polis beberapa kali kerana terbabit dengan penagihan dadah.

Wari berkata mayat berkenaan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat dan punca kematian masih belum diketahui.

Bapa saudara mangsa Jamrus Yaakob, 59, mengesahkan mayat berkenaan adalah anak saudaranya yang tinggal seorang diri di kampung itu setelah kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia.
Tags / Kata Kunci: mayat reput

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan